KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meletakkan aspek perlindungan keselamatan sosial pekerja sebagai komponen penting dalam melaksanakan misi strategik 3K iaitu mengangkat kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja.
Menteri berkenaan Steven Sim (gambar) berkata strategi menambah baik perlindungan keselamatan sosial pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terbahagi kepada tiga peringkat merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Untuk pelan jangka pendek, KESUMA akan menambah baik dasar-dasar PERKESO sedia ada berdasarkan bacaan pertama pindaan akta bagi melaksanakan perkara ini yang telah dibuat semasa sidang Dewan Rakyat pada 26 Mac lepas.
“Penambahbaikan ini akan memberi manfaat kepada 1.45 juta pekerja dengan faedah perlindungan mereka akan meningkat sebanyak 20.2 peratus. Pindaan akta yang berkaitan akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata untuk pelan jangka sederhana pula, kementerian akan merancakkan kempen promosi skim keselamatan sosial PERKESO kepada lebih ramai pekerja dalam sektor gig dan sektor ekonomi ihsan.
Sim berkata sehubungan dengan itu, sasaran KESUMA adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 1,000,000 pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO pada tahun ini.
“Selain pekerja sektor gig, pekerja sektor ekonomi ihsan menjadi fokus KESUMA pada 2024 berikutan sudah sekian lama sektor ini dipandang enteng dari segi sumbangan ekonominya.
“KESUMA turut ingin memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sektor ekonomi ihsan ini, yang kebanyakannya merupakan suri rumah. Oleh yang demikian, Sasaran KESUMA adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 500,000 suri rumah tahun ini berbanding 200,000 pada tahun lepas,” katanya.
Pelan jangka panjang ialah melaksanakan sistem perlindungan keselamatan sosial negara yang lebih menyeluruh melalui dua komponen, iaitu rancangan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada golongan pekerja dan memberikan khidmat pemulihan sebagai perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh.
“Perlindungan keselamatan sosial 24 jam ini mampu memastikan kelangsungan hidup yang lebih baik jika berlakunya musibah terhadap seseorang pekerja, sekali gus melengkapi sistem perkhidmatan kebajikan dan sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada.
“Selain itu, bagi memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan mengurangkan kos operasi, PERKESO akan menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah pusat dialisis di setiap negeri dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya. -Bernama