ISLAMABAD: Virus polio dikesan dalam sampel alam sekitar di Karachi, ibu kota wilayah Sindh di selatan Pakistan, lapor Xinhua memetik kenyataan Jabatan Kesihatan wilayah.

Virus itu secara genetiknya dikaitkan dengan kelompok virus polio yang pada asalnya ditemui di Afghanistan, kata jabatan itu dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sejak awal tahun ini, kira-kira 20 sampel seumpama itu ditemui di wilayah Punjab di timur dan Khyber Pakhtunkhwa di barat laut selain Karachi, dengan kerajaan telah mengambil langkah ketat memastikan kanak-kanak divaksin.

Menteri Kesihatan Nadeem Jan memberitahu media bahawa langkah-langkah kecemasan sedang diambil untuk membasmi polio.

Selepas pengesanan virus polio di bandar, kempen vaksinasi khas anti-Polio dijalankan dari 30 Okt hingga 3 Nov, dengan 10 juta kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah divaksin di kediaman mereka.

Beliau menggesa ibu bapa supaya memberi kerjasama kepada pasukan vaksinasi polio bagi menyelamatkan anak-anak mereka daripada hilang upaya kekal.

Pakistan adalah antara dua negara dunia di mana polio masih endemik, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image