BATU PAHAT: Pemandu bas sekolah yang tular kerana merujuk kanak-kanak perempuan yang dibawanya sebagai crush, didakwa sekali lagi hari ini, kali ini di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menghantar komen jelik dalam video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok minggu lepas.

Lelaki berusia 24 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran satu komen yang jelik sifatnya iaitu satu video yang memperlihatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dan kapsyen “Harini crush busy buat homework” diikuti emoji “Love” sambil memerhatikan kanak-kanak berkenaan pada 5 Sept lepas di Taman Budiman, Parit Raja di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama iaitu denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurizzati Rozman manakala tetuduh diwakili peguam Umar Zulkarnain.

Hakim Osman Affendi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Muar kerana mempunyai dua kes yang dituduh di sana, selari dengan Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Pada Selasa lepas, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pada 5 Sept lepas, seorang pengguna media sosial X berkongsi tangkap layar hantaran TikTok milik seorang pemandu bas sekolah yang merujuk seorang murid perempuan sebagai crush dan “kesayangan”.

Susulan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas berkenaan.

Pada 6 Sept, polis menahan pemandu bas itu yang masih bujang.