MELAKA: Menyedari kepentingan untuk terus menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, Arkib Negara komited mendekati masyarakat terutama generasi muda dalam menyebar luas maklumat mengenai peristiwa bersejarah negara.
Ketua Pengarahnya Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata usaha berterusan itu juga bagi memperkukuh semangat patriotisme merentasi usia dan kaum di negara ini.
“Arkib Negara juga mengadakan pelbagai program termasuk wacana ilmu sempena pengisytiharan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, ceramah Rukun Negara dan Perpaduan.
“Seperti tarikh penting hari ini iaitu pada 20 Feb 1956, Rombongan Merdeka yang diketuai Tunku Abdul Rahman Putra telah turun ke Banda Hilir bagi pengumuman pengiystiharan kemerdekaan dan ini antara usaha kita untuk membolehkan generasi muda menghayati dan mengenang peristiwa bersejarah negara,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis Wacana Ilmu Sempena Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, di sini hari ini.
Jaafar Sidek berkata perbincangan atau perkongsian ilmu seumpama itu adalah platform bagi mendedahkan kepada umum mengenai perjuangan, cabaran, perpaduan dan kesepakatan masyarakat berbilang bangsa di negara ini dalam memperoleh kemerdekaan.
Katanya Arkib Negara yang kini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan juga akan memainkan peranan untuk meningkatkan perpaduan rakyat di negara ini menggunakan bahan sejarah.
Justeru, pihaknya mengalu-alukan tokoh atau individu yang mempunyai bahan bersejarah seperti rakaman atau gambar ketika tarikh-tarikh penting kemerdekaan negara untuk diserahkan kepada Arkib Negara.
“Ini bagi memanfaatkan bahan tersebut untuk terus dipelihara kerana Arkib Negara mempunyai kaedah tersendiri untuk penyimpanan bagi tatapan masyarakat,“ katanya. -Bernama