• 2025-07-28 01:52 PM

BANGKOK: Peranan ASEAN amat penting sebagai platform diplomatik yang diyakini masyarakat antarabangsa dalam membantu menangani krisis pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja, kata seorang pakar dari Thailand.

Pengarah Institut Pengajian Asia Timur, Universiti Thammasat, Prof. Madya Dr. Chaiwat Meesanthan berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN ketika ini boleh memainkan peranan sebagai pengantara, membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan.

“Ini akan membantu mewujudkan keyakinan bahawa proses penyelesaian konflik dilaksanakan secara adil dan telus.

“Namun begitu, penyelesaian sebenar tetap bergantung kepada keikhlasan dan kesediaan kerajaan Thailand dan Kemboja untuk bekerjasama,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan bahawa ASEAN hanya boleh bertindak sebagai pemudah cara sekiranya mendapat persetujuan bersama daripada kedua-dua pihak.

“Penyelesaian jangka panjang bergantung kepada rundingan yang berterusan dan tulus antara kedua-dua negara.

“Mekanisme seperti Jawatankuasa Sempadan Bersama (Joint Border Committee) atau jawatankuasa khas melibatkan pihak ketiga seperti ASEAN boleh memainkan peranan penting sebagai pengantara, pemantau dan penjaga ketelusan dalam proses perundingan,” katanya.

Chaiwat turut menekankan kepentingan mematuhi keputusan undang-undang antarabangsa, termasuk penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai status Kuil Preah Vihear.

“Usaha seperti pemetaan bersama serta pembangunan ekonomi secara kolaboratif di kawasan pertikaian dapat mewujudkan situasi menang-menang tanpa perlu menggunakan kekerasan,” katanya.

Pada Ahad, pemimpin tertinggi kedua-dua negara mengesahkan kehadiran ke sesi rundingan damai yang dijadual berlangsung pada 3 petang ini di Putrajaya, dengan Anwar bertindak sebagai perantara.

Pada Jumaat lalu, Anwar mengadakan perbincangan berasingan dengan pemimpin Kemboja dan Thailand serta menggesa kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta.

Sementara itu, Pensyarah di Institute of Peace Studies, Universiti Prince of Songkhla Prof. Madya Chokchai Wongtanee berpendapat bahawa jalan penyelesaian terbaik kepada krisis sempadan itu adalah dengan memanfaatkan ASEAN dan pengaruh Anwar sebagai pihak ketiga dalam rundingan damai.

“Kedua-dua negara harus memanfaatkan hubungan baik dalam kalangan anggota ASEAN untuk berunding demi perdamaian, bukan peperangan,” katanya.

Menurut Chokchai, perkara paling mendesak ketika ini adalah untuk menghentikan pertempuran terlebih dahulu bagi mengembalikan ketenteraman, sebelum meneruskan penyelesaian melalui pendekatan diplomatik dan politik.

Beliau turut menjelaskan bahawa antara punca utama konflik adalah latar belakang sejarah pertikaian sempadan serta isu peta kawasan bertindih yang wujud sejak era penjajahan Perancis.

Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja memuncak pada Khamis (24 Julai) lalu, dengan pertempuran bersenjata tercetus di sepanjang sempadan utara Kemboja.

Setakat ini, lebih 20 orang dilaporkan terkorban di pihak Thailand, manakala pihak berkuasa Kemboja mengesahkan kematian 13 orang termasuk lima anggota tentera.

Ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan juga terpaksa dipindahkan - BERNAMA