• 2025-08-25 01:29 PM

PUTRAJAYA: Masyarakat diseru agar lebih berwaspada dan beretika ketika menggunakan Internet dan media sosial, sejajar dengan perkembangan teknologi serta cabaran keselamatan siber yang semakin kompleks.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata ia sejajar dengan kewujudan pelbagai perundangan yang mengawal selia tingkah laku dalam talian termasuk pindaan undang-undang berkaitan buli fizikal, lisan dan siber.

“Tahap kewaspadaan kita perlu tinggi lebih-lebih lagi untuk kita menyedari adanya pelbagai perundangan yang memastikan kita menggunakan Internet secara selamat.

“Semua juga perlu ambil tahu berkaitan pindaan-pindaan akta terbaharu, Kanun Keseksaan melibatkan aspek buli, buli lisan, buli fizikal dan sebagainya. Apabila kita memilih untuk menggunakan Internet, kita perlu memastikan diri kita bersedia untuk berdepan dengan semua itu,“ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Wanita Peringkat Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Nur-ul Afida berkata penggunaan Internet juga seharusnya disalurkan kepada perkara yang positif dan tidak disalahgunakan untuk mencipta kandungan yang bersifat provokatif atau sensasi semata-mata.

“Bukan kita mencari sekadar untuk konten tetapi faktanya ke mana dan akhirnya meninggalkan implikasi yang buruk kepada diri sendiri, keluarga, tempat kerja dan negara,“ katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan merujuk kepada sumber berita yang sahih atau berita arus perdana seperti Bernama dan RTM, yang sememangnya telah dididik untuk mendukung etika kewartawanan yang profesional.

Terdahulu, Nur-ul Afida turut berkongsi pengalaman empat dekad beliau dalam dunia kewartawanan kepada lebih 100 ahli Puspanita Kementerian Kewangan pada sesi forum bertajuk “Membina Legasi: Suara, Jiwa dan Harapan Wanita Malaysia”.

Menjadikan Allahyarham bapanya AR Kamaludin sebagai idola, Nur-ul Afida yang juga penerima anugerah Women of the Decade pada Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 berkata sikap cekal dan daya usaha tinggi yang diamalkan oleh bapanya dijadikan pegangan hidup sehingga kini.

“Saya datang dari sebuah keluarga wartawan dan ayah saya melakukan pelbagai kerja untuk menanggung seisi keluarga... kami (adik beradik) diajar apabila kita mahu mencapai sesuatu, banyak perkara yang perlu dikorbankan.

“Sebagai seorang wanita, kita ada pelbagai ‘topi’ yang dibawa... kita merupakan seorang isteri, ibu, adik, kakak dan juga seorang pekerja. Saya tekankan usia bukan penghalang untuk kita mencapai minat dan apa yang kita mahu lakukan,“ katanya- BERNAMA