• 2025-07-27 03:00 PM

BANGI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip RM6.2 juta selepas 28 syarikat kenderaan barangan dan pengendali bas ekspres menyelesaikan 34,371 saman tertunggak dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata syarikat-syarikat yang disenaraikan sebelum ini telah menghubungi JPJ untuk menyelesaikan tunggakan mereka. “Di peringkat JPJ, kami bantu keluarkan rekod terkini dan memudahkan penyelesaian segera. Kami nampak semua syarikat ingin selesaikan tunggakan masing-masing,“ katanya semasa sidang media di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa syarikat yang belum menyelesaikan saman kompaun. JPJ memberi tempoh sebulan bermula 9 Julai lepas untuk mereka berbuat demikian. “Jika tidak diselesaikan, JPJ akan mengambil tindakan senarai hitam kenderaan di bawah syarikat berkenaan. Ada yang sudah kami senarai hitam kerana tiada respons,“ jelasnya.

Selain itu, tawaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata RM150 untuk saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) turut terpakai bagi syarikat pengendali barangan dan bas. Tawaran ini dilanjutkan hingga 31 Disember depan bagi tiga kategori notis saman, termasuk AWAS, Notis 114, dan Notis 115.

Pada 25 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan 28 syarikat, termasuk 11 pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres, mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi, kebanyakannya melibatkan kesalahan had laju - Bernama