KOTA BHARU: Biarpun sudah berlalu lebih 35 tahun, detik cemas ketika bertempur menentang pengganas komunis dalam Operasi Kota Fox Trot pada Mei 1985 masih segar dalam ingatan Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik.
Berkongsi pengalaman, Tengku Ahmad Noor berkata ketika itu beliau ditugaskan sebagai Penolong Ketua Kompeni D untuk mencari dan menjejaki musuh di kawasan Guar Rimau, Perak menerusi operasi berkenaan.
Katanya, gerakan itu juga diatur selepas pihaknya mendengar bunyi ketukan buluh yang sengaja dilakukan oleh pengganas komunis bagi menarik perhatian askar Melayu.
“Pada malam itu kami terdengar ketukan buluh, sebelum keesokannya Ketua Kompeni D telah memanggil saya dan mengeluarkan arahan untuk kami menghantar satu platun bagi membuat penjejakan serta menyiasat ketukan tersebut memandangkan ketukan itu bukan daripada binatang tetapi ia daripada orang.
“Kebiasaannya, pengganas komunis ini akan sengaja menimbulkan atau mewujudkan bunyi bagi menarik perhatian untuk ke kawasan mereka. Sekiranya kita pergi tanpa berhati-hati, kita sama ada akan terkena jerangkap samar ataupun diserang hendap,” katanya ketika ditemui pemberita di Panji, di sini hari ini.
Bercerita lanjut, bagi menjejaki komunis di kawasan yang telah dikesan, Tengku Ahmad Noor berkata beliau yang juga dilantik sebagai Ketua Platun ketika itu telah membahagikan seramai 24 anggotanya menjadi dua kumpulan untuk mengelakkan daripada mudah dikesan oleh musuh.
Katanya, selepas memasuki hari ketiga penjejakan, beliau serta anggota platun mula menemukan kesan jejak (tapak kasut) selain ketika itu mereka turut mendengar bunyi pijakan pengganas komunis di atas kawasan bukit berkenaan.
“Saya berhenti untuk membawa beberapa orang bersama mara ke hadapan dan ketika itulah berlaku pertempuran. Malah, suasana juga menjadi seakan kelam-kabut selain pandangan agak terbatas disebabkan pokok-pokok yang ada,” katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak komunis itu, beliau hanya berada dalam jarak kurang 30 meter dan ditembak secara rambang oleh seorang daripada komunis.
“Pada waktu itu, saya rebah kerana mengelak daripada terkena tembakan menyebabkan mereka beranggapan saya telah tercedera sebelum saya melaungkan kepada anggota platun ‘terus mara ke hadapan’ dan melemparkan sebiji bom tangan menyebabkan komunis terus berundur kerana mengesyaki kami dalam kumpulan yang ramai,” katanya.
Beliau turut bersyukur nyawanya masih terselamat ketika itu memandangkan tembakan secara rambang yang dilepaskan oleh musuh tidak terkena pada bahagian perut kerana ia dilindungi oleh kelopak peluru di vest yang dipakai selain hanya udi senjata yang pecah.
“Jika difikirkan semula, nyawa kami ketika itu sudah terancam dan seakan berada di hujung tanduk memandangkan kedudukan kami dengan pihak komunis ketika berbalas tembakan itu kurang dari 30 meter dan dianggarkan kekuatan mereka adalah sekitar 15 orang.
“Bagaimanapun, penjejakan itu tidak dapat diteruskan kerana komunis telah melintasi garisan antarabangsa iaitu ke arah Thailand. Ia menjadi limitasi pentempuran...kita tidak boleh masuk ke Selatan Thailand,” katanya yang telah menamatkan perkhidmatan pada 2018 sebagai Ketua Staf Markas Medan Barat Tentera Darat di Kem Sungai Besi.
Beliau yang berpengalaman lebih 40 tahun itu turut menasihati generasi muda kini supaya mengukuhkan perpaduan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama selain menjaga dan mencintai tanah air sepenuh hati.
“Anggota tentera kita telah bersusah payah terutama berhadapan dengan komunis dengan ada yang terkorban nyawa untuk mempertahankan negara sehingga kita berjaya mengecapi kemerdekaan.
“Malah, jika hendak dibandingkan dengan gaji diperoleh pada zaman dahulu ia tidak setimpal dengan risiko nyawa yang perlu kami gadaikan. Namun, disebabkan jiwa kami terlalu menyayangi negara menyebabkan kami sanggup berkorban apa sahaja untuk mempertahankannya,” katanya. -Bernama