• 2025-07-13 02:10 PM

PASIR MAS: Pengusaha katering yang dipercayai terlibat dalam insiden keracunan makanan melibatkan pelajar di sebuah kolej swasta di Kota Bharu, didapati tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Husin berkata pengusaha katering berkenaan diberikan notis penutupan operasi selama tujuh hari bermula 9 Julai mengikut Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau berkata mengikut peraturan yang ditetapkan, premis makanan perlu berdaftar dengan KKM termasuk mereka yang menawarkan perkhidmatan katering.

“Kita mendapati pengusaha katering yang menyediakan makanan kepada pelajar di kolej swasta itu tidak berdaftar dengan KKM, malah mengusahakan makanan di premis persendirian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam (OSKA) Siri 7/2025 di Dewan Iltizam Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Mas di sini hari ini..

Beliau berkata setakat ini kes berkenaan terkawal dan tiada pertambahan kes selain pesakit yang dimasukkan wad juga telah dibenarkan pulang.

“Setakat ini, kita mengesyaki insiden itu berpunca daripada gulai ayam, namun kita masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Pada Khamis lepas, media pada melaporkan berlaku kes keracunan makanan di sebuah kolej swasta di Kota Bharu dan setakat ini ia membabitkan 427 pelajar.

Mengenai perkembangan lain, Dr Zaini berkata bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, sebanyak RM249,000 kompaun dikeluarkan membabitkan 498 kompaun melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) bagi tujuan pencegahan dan kawalan Penyakit Demam Denggi.

Beliau berkata melalui tindakan perundangan sebanyak 35 kes di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, dengan jumlah nilai denda sebanyak RM23,000 telah dikeluarkan membabitkan 10 kes mengikut Akta Makanan 198 dan jumlah denda melebihi RM30,000.

“Di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pula sebanyak 7,643 premis telah dilawati bagi tempoh itu. Sebanyak 5,953 notis kesalahan telah dikeluarkan, manakala 7,744 advokasi pendidikan diberikan.

“Sebanyak 4,999 premis makanan pula telah diperiksa dan 39 premis diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya- BERNAMA