KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk menjadikan Maktab PDRM di Cheras sebagai hab pembelajaran dan penyelidikan keselamatan siber dan pencegahan penyalahgunaan bahan terlarang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (gambar) berkata langkah itu antara usaha PDRM mendepani cabaran berkaitan jenayah terbabit yang disifatkan kian meruncing di negara ini berikutan kelemahan tembok keselamatan (firewall) sehingga berlaku serangan siber hampir setiap hari.

“Maktab PDRM sudah bersiap sedia untuk menjadi pusat bagi penyelidikan dan latihan dalam keselamatan siber serta pembanterasan penyalahgunaan bahan terlarang. Ini akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam memerangi ancaman ini di peringkat serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis PDRM Special Dialogue 2024 sempena peringatan Hari Polis Tahun ke-217, di Maktab PDRM yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzi.

Razarudin berkata sekiranya langkah yang perlu tidak diambil mengikut perkembangan semasa, jenayah siber dan narkotik dikhuatiri menjadi lebih serius.

Sehubungan itu, bagi membendung kedua-dua jenayah berkenaan PDRM sedia bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kita mahu pakar analisis yang dihantar ke Universiti Kebangsaan Malaysia boleh mengkaji bahan (dadah) sampai ke tahap boleh kenal pasti lokasi asal dadah itu sama ada dari Laos, Guatemala atau Mexico,” katanya.

Pada majlis itu, PDRM menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan MCMC dan UKM bagi kerjasama strategik yang memanfaatkan pembangunan kapasiti berkaitan jenayah siber dan narkotik.

MoU berkenaan ditandatangani Razarudin mewakili PDRM, MCMC diwakili pengerusinya Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din manakala UKM pula diwakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) Prof Datuk Dr Mohammad Kassim dengan disaksikan oleh Saifuddin Nasution dan Fahmi.

Antara lain perjanjian itu melibatkan inisiatif berkaitan siasatan dan penguatkuasaan termasuk pembangunan bersama silibus, selain menyediakan kepakaran iaitu pegawai MCMC atau PDRM sebagai pensyarah atau penceramah untuk latihan dan penyelidikan yang akan dilaksanakan.

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan memorandum antara PDRM dan UKM tersebut membolehkan lebih ramai siswazah dalam kalangan anggota polis yang berfikiran kritis dan berkemampuan dilahirkan dengan mengaplikasikan penggunaan sains kepolisan dalam pekerjaan mereka.

“Selain pemeteraian MoU ini, MCMC juga komited dalam membantu menaik taraf capaian rangkaian di Maktab PDRM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“MCMC yakin penambahbaikan kepada liputan rangkaian dapat memberi manfaat kepada anggota-anggota polis khususnya yang mengikuti latihan serta kursus di maktab berkenaan,” menurut kenyataan itu. -Bernama