PETALING JAYA: Kesatuan Eropah (EU) ketika ini masih boleh mengimport dan menggunakan biodiesel berasaskan minyak sawit pada masa sekarang, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian selepas Suruhanjaya Eropah (EC) secara rasmi meluluskan langkah

menghentikan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit secara berperingkat menjelang 2030.

“Tetapi ia tidak lagi dianggap sebagai bahan api boleh diperbaharui atau layak untuk mendapat subsidi tambahan.

“Lonjakan dalam harga minyak mentah global sejak kebelakangan ini boleh mencetuskan minat lebih mendalam terhadap biofuel dan India juga telah meningkatkan program pengadunan etanolnya, menggunakan etanol berasaskan tebu dan bijirin dalam usaha mengurangkan kos tinggi mengimport minyak mentahnya.

“Walaupun secara beransur-ansur dunia telah mengiktiraf peranan biofuel, EU tidak pernah menghentikan dasar perlindungannya yang mendiskriminasi minyak sawit, walaupun biofuel terbukti menawarkan kelebihan strategik untuk sektor dan pihak berkepentingan yang berbeza.

“Mereka yang menentang minyak sawit juga telah mengkritik tindakan EU kerana menganggap minyak sayuran lain - iaitu minyak kacang soya - sebagai berisiko rendah. Mereka berkata penanaman soya juga boleh memudaratkan alam sekitar dan mencetus perubahan iklim, mungkin lebih daripada minyak sawit,“ kata Zuraida dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), walaupun penghasilan minyak sawit dikatakan boleh mengakibatkan penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti, menggantinya dengan jenis minyak sayuran lain, mungkin memberi kesan yang lebih teruk kepada alam sekitar.

“Hasil pokok kelapa sawit juga tinggi berbanding tanaman minyak lain yang memerlukan sehingga sembilan kali lebih banyak tanah untuk menghasilkan jumlah minyak sayuran yang sama,“ tambah beliau.

Ujar Zuraida, di pihak Kementerian dan semua agensi berkaitan seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), usaha untuk penglibatan pihak berkepentingan di luar negara akan dipertingkatkan.

“Kementerian telah banyak mengadakan misi perdagangan untuk menentang dakwaan dan naratif anti-minyak sawit.

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya menyampaikan ucapan kepada ketuaketua industri di London tentang manfaat minyak sawit, sambil memberi penjelasan tentang berita palsu mengenainya, selaras dengan kempen global untuk menerangkan kebaikan minyak sawit.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan saya percaya minyak sawit Malaysia bukan sahaja akan mendapat penerimaan yang lebih tinggi malah mungkin menjadi minyak masak yang dominan dalam pasaran bukan tradisional seperti Eropah,“ kata Zuraida.