MELAKA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong di sini, yang dibina dengan kos berjumlah RM24 juta dengan 24 bilik darjah dan mampu menampung 840 pelajar itu, dijangka akan dibuka pada akhir Jun depan.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata sekolah menengah tersebut dibina bagi mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah berhampiran seperti SMK Paya Rumput, SMK Malim dan SMK Tun Haji Abdul Malek.

“Saringan pemilihan guru dan pelajar telah dilakukan dan kerajaan negeri sangat prihatin tentang isu pembangunan sekolah dan kita akan melihat keperluan dari semasa ke semasa, untuk memastikan anak-anak di negeri ini mendapat pendidikan yang sewajarnya,” katanya di Majlis Rumah Terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sekolah di Melaka akan menerima lokar untuk penyimpanan buku secara berperingkat, dalam usaha menangani isu beg sekolah berat namun jumlah serta senarai sekolah terbabit masih dalam penelitian.

Dalam perkembangan lain, katanya ibu bapa di Melaka diminta tidak perlu khuatir untuk membenarkan anak mereka bersekolah seperti biasa mengikut sesi persekolahan penuh, walaupun penularan Covid-19 di negeri itu masih berlaku.

Rais berkata Jabatan Pendidikan Melaka, telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi membendung penularan wabak tersebut dalam kalangan warga sekolah dan akan terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 secara mendadak di sekolah selepas Hari Raya Aidilfitri, tindakan segera akan diambil bagi mengawal penularan berkenaan.-Bernama