KUALA LUMPUR: Seramai 1.2 juta kakitangan kerajaan memegang kunci ke arah kejayaan konsep Malaysia Madani (atau Sivil Malaysia) dengan menyemai semangat serta daya saing untuk mengembangkan ekonomi yang sedang terancam dengan kemelesetan tahun ini.

Daripada perspetif ekonomi dalam mendorong negara ke hadapan, mereka perlu berganding bahu dengan sektor swasta bagi melaksanakan enam teras utama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Ini bermakna rasuah perlu ditolak, sikap kurang sopan dibuang dan yang paling penting, turun ke lapangan untuk menyelami masalah serta cabaran peniaga dan membantu mereka yang mana boleh.

Hutang negara Malaysia telah mencecah RM1.5 trilion, yang bererti perniagaan, keusahawanan serta peningkatan hasil negara tidak boleh dipacu secara tradisional.

Pekerjaan mesti diwujudkan untuk orang ramai, perniagaan perlu dirangsang dengan menghapuskan halangan, monopoli, kronisme dan nepotisme dibasmi.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan di bawah kerajaan perpaduan yang baharu, mempertikaikan perjalanan ekonomi Malaysia sebelum ini oleh beberapa individu terpilih yang sangat kaya, bersifat kapitalisme dan membuat monopoli yang akhirnya telah menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, seterusnya, membebankan rakyat.

Bagi mengatasi masalah ini, tindakan membanteras rasuah dan meminimumkan ketirisan kewangan serta mengawal harga barangan keperluan asas, kos pengangkutan, sewaan, cukai dan hutang isi rumah adalah amat penting kerana ia memberi impak kepada kewangan rakyat.

Matlamat konsep Madani Anwar adalah untuk mencapai ekonomi yang adil dengan pai yang lebih besar yang mana semua rakyat Malaysia akan mendapat bahagian yang saksama.

Aduan yang paling banyak diterima adalah ketiadaan hubungan antara rakyat dan mereka yang bertanggungjawab di pusat pentadbiran Putrajaya, agensi kerajaan, pengawal selia kewangan, bank pembangunan dan agensi negeri dalam menyelesaikan masalah harian mereka.

Pentadbiran kali ini perlu menyediakan aduan standard baharu kepada rakyat untuk dizahirkan cabaran yang mereka hadapi seperti kewangan, kesukaran mendapatkan pinjaman, isu sosial, keselamatan, perumahan, pengangguran, hutang dan lain-lain.

Masalah yang dihadapi mereka termasuk tidak terlibat secara inklusif, seharusnya menjadi satu inisiatif dasar yang perlu diselesaikan yang perlu dimulakan secepat mungkin dalam belanjawan yang akan diumumkan pada 24 Feb akan datang.

Seperti yang ditegaskan oleh Anwar, rakyat adalah keutamaan, sebab itulah kakitangan sektor awam perlu menyelesaikan masalah mereka dengan cepat selain tidak menyebabkan mereka menderita kerana kelewatan dan kekangan birokrasi yang tidak perlu.

Beliau menegaskan, pertumbuhan dan pembangunan perlu dicapai menerusi konteks ekonomi yang lebih berperikemanusiaan yang mengutamakan keperluan rakyat.

“Sebab itu keputusan dasar perlu memastikan aktiviti ekonomi boleh berlaku tanpa menimbulkan kesusahan kepada rakyat,“ katanya.

Dari sudut ekonomi serta perniagaan, usaha memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menjadi tulang belakang sektor pembuatan termasuk sektor lain, adalah penting memandangkan mereka merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Aduan utama daripada PKS termasuk kesukaran mendapatkan pinjaman kerana syarat yang terlalu ketat seperti menuntut peminjam meletakkan cagaran sedangkan mereka baru hendak memulakan perniagaan dan tidak mempunyai apa-apa aset.

Bank Negara Malaysia, bank-bank perdagangan serta pembangunan termasuk agensi-agensi lain perlu mengambil berat untuk memperhalusi dan memperkenalkan pembaharuan kewangan yang merangkumi pembaharuan prosedur permohonan pinjaman selaras dengan Malaysia Madani.

Kerajaan mesti berusaha untuk membawa Malaysia keluar daripada masalah kewangan melalui minda perindustrian di kalangan kakitangan perkhidmatan awam dan rakyat berdasarkan ekonomi yang saksama.

Ini juga memerlukan kerajaan bekerjasama dengan sektor swasta untuk belajar berdaya saing serta mengeluarkan Malaysia daripada kelesuan ekonomi semasa yang memerlukan kerajaan dan semua bahagian perniagaan bersatu ke arah yang sama.

Visi Anwar untuk memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan serta menyusun semula ekonomi ke arah pemulihan perlu diberi sokongan yang tepat, kerana Malaysia tidak mempunyai opsyen berikutan kesukaran daripada krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Selain itu, Malaysia Madani jelas beriringan dengan objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Jika 33.9 juta penduduk boleh bekerjasama dengan satu tujuan iaitu untuk menggerakkan negara ke hadapan dengan membuang perbezaan mereka dan memberi tumpuan kepada persamaan mereka, Malaysia boleh mencapai nilai sebenar untuk menjadi ekonomi dan negara yang akan diperakui di peringkat serantau dan global. -Bernama