• 2025-07-21 09:48 AM

KUALA LUMPUR: Pelbagai produk kosmetik dan makanan tambahan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang disimpan untuk dijual dalam talian dirampas dalam serbuan di dua kediaman di Segambut pada Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, berkata serbuan pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia 28 dan 30 tahun. Serbuan itu juga merampas 1,972 kotak dan 2,551 botol produk kosmetik serta makanan tambahan yang tidak mempunyai kelulusan KKM.

“Lelaki berusia 40 tahun itu kemudian membawa polis ke kediaman kedua, di mana 180 kotak dan 895 botol produk seumpama ditemui. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM185,515,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi itu disertai pegawai KKM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membanteras pengedaran produk haram yang mengancam kesihatan pengguna. Kes ini disiasat di bawah Peraturan 18A dan Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. DBKL turut mengeluarkan notis kepada pemilik premis kerana menukar kegunaan bangunan tanpa kebenaran.

Azmi menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memilih produk kesihatan dan mengutamakan yang mendapat kelulusan pihak berkuasa. Beliau juga memberi amaran kepada pengendali platform jualan dalam talian supaya memantau aktiviti jualan bagi mengelak produk haram dipasarkan.

Dari Januari hingga 16 Julai lalu, polis melakukan 167 serbuan dengan 300 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan kawalan dan senjata tiruan. Nilai rampasan bagi tempoh tersebut mencecah RM541 juta - Bernama