Your Title

SKYPE pernah berada di puncak dengan menjadi salah satu platform utama dalam komunikasi secara atas talian atau lebih tepat lagi komunikasi melalui panggilan video.

Penggunaan Skype juga meluas ke seluruh dunia dan menjadi antara aplikasi yang wajib ada di dalam gajet elektronik orang ramai suatu ketika dahulu.

Namun begitu Skype akan ditamatkan perkhidmatannya pada Mei 2025 dan akan digantikan dengan Microsoft Teams.

Melalui sebuah kenyataan di laman web rasmi Microsoft, ia berkata bahawa cara kita berkomunikasi telah pun berubah dan teknologi juga sering bertransformasi dalam menghubungkan manusia.

Tambahan pula, deretan aplikasi baharu yang muncul, menyediakan fungsi sama telah memberikan Skype cabaran yang sengit.

Untuk lebih mengadaptasi keperluan pengguna, pihak Microsoft memutuskan untuk menutup Skype dan lebih fokus kepada Microsoft Teams.

“Untuk memperkemas penawaran komunikasi pengguna percuma kami agar kami dapat lebih mudah menyesuaikan diri dengan keperluan pelanggan, kami akan menghentikan perkhidmatan Skype pada Mei 2025 untuk memberi tumpuan kepada Microsoft Teams (percuma), hab komunikasi dan kerjasama moden kami,“ pihak Microsoft berkata.

Melalui Teams, pengguna akan dapat mengakses lebih banyak fungsi utama yang sama seperti yang disediakan oleh Skype. Tambahan pula, Teams juga menawarkan fungsi yang lebih dipertingkatkan seperti seperti menganjurkan perjumpaan, menguruskan kalender, serta membina dan menyertai kelompok komuniti secara percuma.

Pada akhir kenyataan pihak Microsoft menyatakan bahawa peralihan ini mungkin akan mencabar, namun dalam masa yang sama mereka juga teruja dengan peralihan ke Teams.

“Kami juga faham bahawa perubahan boleh menjadi mencabar dan kami ingin anda tahu bahawa kami di sini untuk menyokong anda di setiap langkah. Kami teruja dengan peluang baharu yang dibawa oleh Teams dan komited untuk membantu anda terus berhubung dalam cara yang baharu dan bermakna,“ tambah Microsoft.