Your Title

KAKAK kepada pemandu Honda Jazz yang didakwa menjadi punca kemalangan yang meragut nyawa dua orang remaja di Senawang, Negeri Sembilan tampil memohon maaf melalui sebuah video yang tular di aplikasi TikTok.

Menerusi sebuah video yang kini tular, Nur Athirah Najwa yang memohon maaf terutamanya kepada keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut, serta meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas perbuatannya yang dianggap tidak sensitif dan keterlaluan.

“Assalamualaikum saya Nur Athirah Najwa, kakak kepada pelaku terlibat dalam kemalangan di Senawang, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga mangsa dan seluruh rakyat Malaysia atas posting dan komen yang keterlaluan sehingga membuat semua marah,” katanya di dalam video tersebut.

Tindakan Nur Athirah di media sosial dengan membuat hantaran di Instagram dan juga membalas komen salah seorang pengguna media sosial untuk membela nasib adiknya dianggap tidak beretika oleh netizen Malaysia.

Hal ini adalah kerana, mangsa yang terlibat telah meninggal dunia dan tindakannya mengundang kecaman daripada rata-rata pengguna media sosial.

Dia juga mengakui bahawa tindakan yang dilakukannya itu dibuat dalam keadaan emosi dan akui menyesal dengan perbuatannya tersebut.

“Saya sedar saya telah up posting dan komen tersebut dalam keadaan yang emosi, saya betul-betul minta maaf dan saya menyesal,” tambahnya.

Video selepas kemalangan tersebut yang berlaku pada 6 Mac di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height menjadi tular.

Menurut laporan polis, Honda Jazz yang dipandu oleh adik Nur Athirah gagal berhenti di lampu merah dan bertembung dengan dua motosikal.

Pelanggaran itu mengakibatkan kematian dua pelajar lelaki, seorang penunggang berusia 15 tahun dan seorang penumpang berusia 16 tahun di atas motosikal Modenas Kriss. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu yang tidak mempunyai lesen itu sedang dalam perjalanan dengan seorang penumpang berusia 17 tahun semasa kejadian. Polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan sesiapa yang mempunyai rakaman dashcam kemalangan itu diminta tampil ke hadapan.