Your Title

ADAKAH wajar untuk seorang lepasan SPM menuntut gaji sebanyak RM2,300 apabila mereka tidak memiliki diploma atau degree dan juga tidak mempunyai pengalaman kerja, memandangkan gaji minimum Malaysia adalah RM1,700?

Seorang wanita baru-baru ini menyuarakan pendapatnya di media sosial, merungut tentang tindakan sesetengah lepasan SPM yang memohon pekerjaan dan menjangkakan gaji RM2,300 walaupun tidak mempunyai pengalaman bekerja.

Izyan Syahirah, dalam satu hantaran di Threads, berkongsi bagaimana sesetengah lepasan SPM menuntut gaji ini tanpa pengalaman untuk menyokong tuntutan tersebut.

“Masalahnya, dah la baru habis SPM, then demand gaji RM2.3K. Pengalaman kerja pun tiada,“ katanya.

Lebih mengeruhkan keadaan, calon-calon tersebut dengan bangganya menjawab “Biar saya fikirkan dahulu” apabila dimaklumkan bahawa gaji yang ditawarkan adalah RM1,700 beserta elaun dan lebih masa (OT), yang pada hemat wanita tersebut sudah sangat baik.

Rata-rata netizen bersetuju dengan luahan Izyan, terdapat juga yang membalas dengan turut berkongsikan pengalaman mereka.

“Betul ! kita sebagai perekrut sangat sakit jantung bila berjumpa orang seperti ini.

“Belum tengok cara yang tidak beradab minta kerja, macam kita pula yang beria nak dia bekerja dengan kita,” kata @woiina.jpg.

“Betul-betul, ini tidak, baru habis SPM terus tuntut RM2,3OO. Sekurang-kurangnya kerja dahulu cari pengalaman atau ambil sijil professional,” kata @lepetite_1004.

Terdapat juga yang berkongsi walaupun lepasan diploma atau degree juga masih susah untuk mendapatkan gaji RM2,300, inikan pula lepasan SPM.

“Setuju ! penat saya buat degree dengan sedikit pengalaman bekerja dan agak aktif dalam ko-kurikulum tetapi masih ditawarkan sebanyak RM2,200 sahaja,” kata @naasnb.

“Saya dahulu untuk kerja kali pertama selepas intern gaji RM 1,300 sahaja, di situ duit untuk sewa rumah, bayar grab, dan untuk makan. Simpanan setiap bulan 10sen sahaja. Jangan terlalu mengharapkan gaji tinggi, janji ada duit sendiri dan tidak menyusahkan ibu dan bapa,” kata @zzzzzzzira.