Your Title

SEORANG wanita warga emas di Taiwan menyembunyikan mayat anak perempuannya di rumahnya selama enam tahun tanpa pengetahuan umum, tindakannya dilaporkan menuruti wasiat si mati yang tidak mahu dikebumikan.

Dalam kejadian pelik yang berlaku di Daerah Ruifang, Bandar Raya New Taipei, wanita itu dilaporkan menyimpan mayat anak perempuannya yang berusia 53 tahun di dalam bilik dengan penghawa dingin yang sentiasa dihidupkan sepanjang masa selama tempoh itu.

Apartmen tersebut dibeli perempuan tersebut kira-kira tujuh hingga lapan tahun lalu dan sebelum penemuan mengejutkan itu, jiran-jiran menganggap wanita warga emas itu tinggal seorang diri, menurut United Daily News.

Mereka tidak terhidu sebarang bau yang ketara serta tanda-tanda lain yang mencurigakan.

Namun begitu tahun ini, ibu tersebut mengalami strok dan sukar untuk menjaga mayat anak perempuannya secara rapi setiap hari seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Keadaan kewangannya juga semakin merosot kerana dia tidak mampu membayar bil elektrik dan akhirnya meluahkan situasinya kepada seorang sukarelawan.

Apabila polis tiba di rumah itu, mereka mendapati mayat itu telah mengering menjadi mumia sepenuhnya.

Siasatan awal menolak elemen pembunuhan berikutan keterangan ibu itu dan wasiat anak perempuannya mengenai urusan pengebumiannya, yang dikatakan disebabkan kepercayaan agama.

Selain itu, “bahan seperti minyak”, seperti yang dipetik, disapu oleh ibu berkenaan di seluruh badan si mati dan penghawa dingin yang dipasang sepanjang hari dipercayai antara sebab sebarang bau reput keluar dari apartmen tersebut.