KUALA TERENGGANU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) buat julung kalinya menyertai penganjuran Karnival Kerjaya MyFutureJobs oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu.
Pengarah Perkeso Terengganu Farihah Che Husin berkata dua cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu, menawarkan 700 penempatan untuk diisi bagi jawatan Perajurit Muda.
“Ini peluang yang besar dan sempurna yang tidak boleh dilepaskan bagi mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun.
“Pelbagai jawatan ditawarkan bermula daripada jawatan Pembantu Am sehingga kumpulan profesional dan berkemahiran tinggi, beserta penawaran gaji mencecah RM6,000 pada karnival yang bermula semalam dan akan berakhir pada pukul 6 petang ini.
Karnival bertemakan ‘Tiada Yang Terpinggir’ itu disertai 65 majikan daripada agensi kerajaan dan badan berkanun selain syarikat swasta, sekali gus menjadikan penganjurannya kali ini sebagai yang terbesar dengan penawaran 4,300 peluang pekerjaan keseluruhan.
Beliau berkata demikian pada sidang media karnival itu di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.
Keseluruhannya, sebanyak 25,181 jawatan telah diisi pencari kerja menerusi karnival anjuran Perkeso Terengganu itu sejak 2020 hingga 5 Ogos, manakala sebanyak 1,755 kekosongan jawatan aktif direkodkan bagi tempoh 2023 hingga Julai.









