the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 29, 2026
30.1 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Lapan ahli kongsi gelap termasuk tujuh juvana, didakwa cederakan remaja

JOHOR BAHRU: Lapan ahli kongsi gelap termasuk tujuh remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan tiga remaja berusia 15 tahun dipercayai kerana enggan memasuki kongsi gelap.

Lim Jian Yau, 20, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan tiga remaja berkenaan dengan memukul mereka menggunakan tangan dan kakinya, di kawasan semak belakang taman permainan Taman Mutiara Rini, Skudai, pada 8 malam, 15 Jun.

Mahkamah menjatuhi Lim hukuman denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin, manakala tertuduh diwakili peguam Jason Tan Ka Yan dan Mohamed Imran Mohamed Sam.

Mengikut fakta kes, tiga mangsa berusia 15 tahun itu berada di sebuah pusat beli-belah di Skudai sebelum didatangi 10 remaja, yang memaksa mereka menyertai sebuah kumpulan kongsi gelap.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa enggan menyertai kumpulan kongsi gelap itu sebelum dipaksa menaiki sebuah kereta dan kemudian dipukul dan dicederakan, selain mereka menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa.

Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan, tujuh remaja berusia 15 tahun hingga 18 tahun mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan mencederakan tiga mangsa sama menggunakan senjata iaitu batang PVC yang boleh menyebabkan kematian dan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan mangsa sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan mencederakan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan untuk kesalahan mencabul.

Tujuh remaja berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di belakang gelanggang futsal Taman Keindahan, Skudai pada 7 malam, 15 Jun.

Jika sabit kesalahan, remaja tersebut boleh diperintahkan berkelakuan baik dengan syarat dikenakan mahkamah atau dilepaskan dengan amaran atau dihantar ke Sekolah Henry Gurney atau membayar denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Musa manakala Tan dan Mohamed Imran mewakili semua tujuh remaja berkenaan.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membenarkan setiap remaja itu diikat jamin RM1,000 seorang, selain melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, serta menetapkan 29 Julai untuk sebutan semula kes.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings