Festival Idea Putrajaya 2025 catat 68 perjanjian kerjasama strategik dengan pulangan pelaburan melebihi RM158 juta antara universiti dan industri.
PUTRAJAYA: Sebanyak 68 perjanjian kerjasama strategik dengan pulangan pelaburan melebihi RM158 juta berjaya dimeterai sepanjang Festival Idea Putrajaya 2025.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemeteraian memorandum persefahaman, memorandum perjanjian dan surat niat itu membuktikan komitmen kementerian memperkukuh jaringan kerjasama strategik.
“Kebanyakan kerjasama ini memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan berimpak tinggi, khususnya dalam sektor kesihatan, pertanian dan pelbagai bidang lain yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya.
Beliau menekankan inisiatif berkongsi perkhidmatan dengan industri termasuk pelaksanaan latihan industri untuk pelajar.
“Usaha sebegini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, malah memastikan graduan kita lebih bersedia menghadapi keperluan pasaran kerja masa kini,” tambah Zambry.
Pulangan pelaburan hari pertama mencapai RM137.7 juta, manakala hari kedua mencatat RM21.2 juta.
Hari pertama melibatkan penyertaan 31 universiti awam dan empat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan 31 industri.
Hari kedua disertai oleh 22 universiti awam dan 11 institusi pengajian tinggi swasta dengan 34 industri.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia mencatat penyertaan tertinggi dalam kalangan universiti awam dengan sembilan memorandum perjanjian bernilai RM1.91 juta.
Universiti Kuala Lumpur muncul institusi pengajian tinggi swasta paling aktif dengan lima memorandum perjanjian dan satu memorandum persefahaman bernilai RM2.995 juta.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah menyumbang pulangan pelaburan tertinggi berjumlah RM117.505 juta.
Multimedia University mencatat pulangan pelaburan tertinggi dalam kalangan institusi pengajian tinggi swasta dengan RM5 juta. – Bernama









