Program jelajah usahawan seluruh negara bermula Disember untuk dengar pandangan terus usahawan mikro, kecil dan sederhana
KUANTAN: Sebuah program jelajah ke setiap negeri akan bermula Disember ini bagi mendengar pandangan, cadangan dan permasalahan usahawan di seluruh negara.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau mengambil pendekatan itu setelah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan.
“Jelajah itu antara pendekatan baharu kita untuk memastikan suara usahawan pada peringkat akar umbi dapat didengari secara terus tanpa melalui pihak perantara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Usahawan MARA di sebuah hotel di sini.
Wan Rosdy berkata jelajah berkenaan dijadualkan bermula dengan kunjungan ke Kedah dan Perlis sebelum diteruskan ke seluruh negeri lain termasuk Pahang.
Beliau berkata program itu akan dijalankan secara berperingkat dan melibatkan pelbagai kategori usahawan termasuk mikro, kecil dan sederhana.
“Hasil maklum balas yang diperoleh kelak bakal digunakan untuk memperkukuh dasar dan strategi kerajaan dalam membangunkan sektor keusahawanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan tahniah kepada 12 usahawan Pahang yang menerima anugerah penghargaan sempena majlis berkenaan.
Wan Rosdy berkata kejayaan mereka mampu menjadi inspirasi kepada usahawan lain untuk meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.
“Bagi yang belum berjaya, jangan putus asa. Anugerah itu ialah program berterusan dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya. – Bernama






