the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, January 11, 2026
21.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Sistem pendidikan perlu selaras dengan perubahan global, kata PM Anwar

PM Anwar tekankan keperluan transformasi sistem pendidikan agar selari dengan landskap global dan lebih inklusif di Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika

NAIROBI: Sistem pendidikan perlu selari dengan landskap global yang pantas berubah dengan memenuhi standard antarabangsa dan bersifat inklusif,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita memerlukan perubahan besar-besaran sistemik yang lebih inklusif dan terbuka kepada dinamik pencapaian pengetahuan,” katanya. 

Anwar memetik novelis, ilmuwan dan aktivis Kenya terkenal Ngũgĩ wa Thiong’o yang berkata: “Sistem pendidikan yang tidak belajar daripada kebijaksanaan kreatif rakyat dan membenarkan hanya satu cara untuk mengetahui ialah sistem yang menguasai.”

Beliau berkata demikian pada Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika 2025 yang diadakan sempena lawatan rasminya ke Nairobi.

“Ini menunjukkan betapa bermaknanya sejarah yang dikongsi Malaysia dan Afrika yang bertunjangkan perjuangan dan ketahanan. Kita bangkit daripada penguasaan penjajah dengan komitmen terhadap keadilan dan maruah dan membina semula masyarakat kita melalui keberanian dan keazaman,” katanya.

Anwar berkata pengalaman itu membentuk kepercayaan bahawa kemerdekaan mesti diiringi dengan transformasi intelektual dan dipadankan dengan kesamarataan.

Beliau berkata pendidikan menjadi faktor penting dalam memastikan kesamarataan di samping usaha pembangunan dan menaikkan semua golongan.  

Bagaimanapun beliau mengakui cabaran baharu dan rumit terus muncul termasuk kesukaran untuk membiayai pendidikan tinggi, keperluan pada mekanisme jaminan kualiti yang mantap dan memenuhi piawaian antarabangsa serta tekanan untuk memastikan transformasi digital inklusif dan bermakna.

Menurut Perdana Menteri, meskipun berdepan pelbagai cabaran ini, Asia dan Afrika mempunyai potensi yang besar.

“Asia dan Afrika mempunyai populasi termuda di dunia. Ekonomi kita berkembang dan kemakmuran masa depan kita bergantung pada bakat, inovasi dan pengetahuan,” katanya.

Anwar yang tiba semalam, akan mengakhiri siri lawatan ke tiga negara di benua Afrika hari ini. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories