Mangsa banjir di pusat pemindahan di Perak dan Selangor terus berkurangan, manakala keadaan di Perlis dan Pahang hampir pulih sepenuhnya
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Perlis dan Pahang hampir pulih, manakala jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Selangor terus menurun.
Di Perak, jumlah mangsa di 18 PPS merosot kepada 2,690 orang daripada 783 keluarga pagi ini.
Daerah Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,385 orang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan ribut dan hujan di beberapa daerah Perak pada petang dan malam ini.
Di Selangor, jumlah mangsa menurun kepada 699 orang daripada 215 keluarga pada pagi ini.
Jumlah PPS yang masih beroperasi di negeri itu juga menurun kepada tujuh buah.
Situasi banjir di Perlis semakin pulih dengan jumlah mangsa menurun kepada 207 orang.
Semua mangsa di Perlis masih ditempatkan di dua PPS di kawasan Padang Besar dan Arau.
Di Pahang, jumlah mangsa di Kuantan dan Maran kekal 28 orang daripada enam keluarga.
Mereka ditempatkan di dua PPS iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan.
Paras air di semua sungai utama Pahang merekodkan bacaan di bawah paras bahaya. – Bernama







