JPS Terengganu ramalkan 41 kampung di 12 muara sungai berisiko banjir akibat fenomena air pasang besar bermula 4 hingga 10 Disember
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 41 kampung di 12 muara sungai di Terengganu dijangka dinaiki air susulan fenomena air pasang besar.
Fenomena itu diramal bermula 4 Disember dan berterusan sehingga 10 Disember ini.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu Osman Abdullah berkata limpahan air laut di pesisir pantai dan muara boleh menyebabkan banjir.
“Limpahan air laut boleh menyebabkan banjir di kampung berhampiran dan tepi pantai sekiranya hujan berlaku serentak dengan kejadian air pasang,” katanya.
Di daerah Kuala Terengganu, lokasi berisiko ialah Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai, Taman Purnama, Kampung Pulau Rusa, Kampung Sekati dan Kampung Pulau Ketam.
Daerah Kuala Nerus pula melibatkan Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu dan Kampung Tanjung Gelam.
Di daerah Dungun, kawasan dijangka terjejas termasuk Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara dan Kampung Che Lijah.
Lokasi lain di Dungun ialah Kampung Alor Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sura dan Kampung Kuala Paka.
Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah dan Kampung Durian Mentangau di Dungun juga disenaraikan.
Daerah Marang pula melibatkan Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Mercang dan Kampung Pulau Rusa Baru.
Di daerah Setiu, lokasi diramalkan terjejas ialah Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis dan Kampung Kuala Setiu.
Kampung Fikiri dan Kampung Telaga Papan di Setiu juga berisiko.
Empat lokasi di daerah Kemaman yang dijangka terjejas ialah Pulau Skepeng, Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Baru Kemasik.
Di daerah Besut, kawasan terlibat ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail.
Osman menasihati penduduk di kawasan terlibat supaya berwaspada dengan perkembangan cuaca.
Beliau menggesa mereka peka dengan arahan pihak berkuasa.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa negeri.
Amaran itu melibatkan Kelantan, Terengganu, Sabah, Johor, Pahang dan Sarawak bermula 5 hingga 8 Disember. – Bernama







