Kejohanan pacuan empat roda MAT 2025 di Kelantan seru 150 peserta, promosi ekopelancongan dan nilai murni sambil beri impak ekonomi kepada komuniti tempatan.
GUA MUSANG: Kelantan diangkat sebagai destinasi utama sukan permotoran lasak negara menerusi penganjuran kejohanan pacuan empat roda (4×4) bertaraf nasional.
Kejohanan Malaysia Adventure Trophy (MAT) Kelantan 2025 berlangsung sehingga 1 Januari depan dan merentasi lokasi utama termasuk Gua Musang, Gua Ikan di Dabong, Kuala Krai, FMC Kelah Eco Park dan Istana Sangkut.
Pengarah Operasi MAT Kelantan 2025 Atan Aris berkata pemilihan daerah itu sebagai pembuka tirai dapat memberi pendedahan mengenai lokasi ekopelancongan di negeri berkenaan.
“Penganjuran ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Kelantan sebagai destinasi utama pelancongan pengembaraan dan sukan lasak negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kejohanan itu disertai 150 peserta melibatkan pemandu, kru sokongan serta peminat sukan permotoran dari seluruh negara.
Terdapat tiga kategori utama yang dipertandingkan iaitu Adventure, Trophy dan Open.
Kategori-kategori itu menguji ketahanan fizikal, kemahiran pemanduan teknikal, keupayaan pemanduan arah serta kerjasama berpasukan dalam laluan hutan dan sungai yang mencabar.
Atan berkata selain merancakkan aktiviti sukan permotoran, MAT Kelantan 2025 turut mempromosikan nilai-nilai murni.
Penganjuran itu dijangka memberi impak ekonomi positif kepada komuniti luar bandar termasuk pengusaha kecil, penyedia perkhidmatan tempatan dan sektor pelancongan.
“Kejohanan ini turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan peserta, pemanduan beretika dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Penekanan itu selari dengan prinsip kelestarian serta amalan sukan lasak yang bertanggungjawab.








