the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, July 26, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pendaftaran PADU di Selangor dapat sambutan, kira-kira 117,000 mendaftar

SHAH ALAM: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan minggu ini pada Selasa, mendapat sambutan menggalakkan rakyat Selangor dengan sekitar 117,000 pendaftaran setakat ini.

Pengarah Jabatan Perangkaan Selangor Hartini Yaacob berkata selain pendaftaran dalam talian, pihaknya turut membuka kaunter PADU untuk membantu mereka yang mengalami masalah tidak dapat mengakses platform tersebut atau gagal membuat pendaftaran dalam talian.

“Untuk seminggu pertama ini iaitu sehingga 8 Jan, kita beroperasi di 10 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan Bangunan Darul Ehsan,” katanya ketika ditemui di Bangunan Darul Ehsan, hari ini.

Beliau berkata penyediaan kaunter itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai orang selain memudahkan mereka mendaftar sistem itu.

Hartini berkata pihaknya akan bergerak ke lokasi lain dari semasa ke semasa dan mengikut perancangan, lebih 50 kaunter PADU bakal dibuka di 48 PEDi dan di sembilan Pusat Maklumat Rakyat di setiap daerah serta di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor, di sini, menjelang Mac.

Beliau berkata Jabatan Perangkaan menyasarkan seramai 4.9 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas di negeri itu akan membuat pendaftaran di PADU menerusi pelbagai usaha yang direncana termasuk hebahan di media sosial dan kerjasama dengan agensi kerajaan lain.

Penjawat awam, Nur Fatin Ashikin Mad Ayob, 24, berkata pada awal pelancarannya, beliau tidak berjaya mengakses platform tersebut berkemungkinan kerana terlalu ramai melakukan perkara sama ketika itu.

“Tapi pada sebelah malam, saya cuba sekali lagi dan berjaya. Kira-kira dalam 10 minit saya telah selesai mengisi pendaftaran,” katanya.

Mohd Danish Ashrafy Mohd Kamal, 25, pula berkata walaupun boleh mendaftar menerusi telefon pintar, beliau memilih untuk ke kaunter yang dibuka di sini kerana ingin mengetahui lebih lanjut berhubung inisiatif baharu kerajaan itu.

“Kita pun tahu ini sistem baharu yang dikelolakan kerajaan, jadi kita sebagai rakyat perlu tahu mengenai pengisian maklumat dan apa data yang disimpan oleh kerajaan dan mekanisme yang digunakan kerajaan daripada data yang diperoleh seperti penyediaan subsidi dan bantuan kepada rakyat,” katanya. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings