the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, July 26, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Syed Abu Hussin: Tiada unsur pujukan, habuan untuk sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Bersatu yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat demikian secara rela hati tanpa dipengaruhi sebarang unsur pujukan atau habuan, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (gambar).

Menurutnya mereka mengambil keputusan itu setelah menyedari tidak ada apa-apa perkara yang boleh memanfaatkan rakyat di kawasan masing-masing setelah setahun mereka menjadi pembangkang.

Beliau berkata adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk melemparkan tuduhan kononnya mereka disogok untuk memberikan sokongan kepada Anwar terutamanya pada sesi Dewan Rakyat.

“Janganlah cuba mewujudkan suasana tidak stabil, sama ada dari segi politik, tuduhan dan sebagainya. Jangan guna Parlimen sebagai tempat untuk melangsungkan politik tanpa asas. Parlimen adalah tempat kita berbincang untuk membantu membangunkan negara dalam ketidaktentuan global ketika ini.

“Kita hormati kenyataan sesiapa sahaja, cuma tuduhan dilemparkan di Parlimen adalah tidak benar, fitnah semata-mata, kerana sokongan kepada Anwar adalah ikhlas. Isu semalam yang dibawa tidak betul,“ katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam yang mendakwa ada pihak tertentu menjanjikan habuan kepada sesiapa yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

Syed Abu Hussin berkata ahli-ahli Parlimen Bersatu yang terlibat bersedia berhadapan sebarang tindakan termasuk mengosongkan kerusi masing-masing jika pindaan Perlembagaan parti itu yang dijangka dilakukan dalam masa terdekat, melarang mereka memberi sokongan kepada Anwar.

“Parti membuat keputusan meminda perlembagaan untuk mengelak dan melarang Ahli Parlimen Bersatu menyokong pihak berbeza selain ditetapkan parti, menyebabkan kelayakan mereka gugur secara automatik.

“… bagi kami yang sudah beri sokongan, kami akan tengok dahulu pindaan berkenaan dan kalau dibawa ke mahkamah kami cabar,“ katanya.

Selain Syed Abu Hussin, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu turut menyatakan sokongan kepada Anwar sebelum ini iaitu Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings