Polis Selangor tahan 72 individu termasuk penganjur dalam serbuan judi sabung ayam dan bola golek di sebuah kebun haram di Klang
SHAH ALAM: Polis menahan 72 individu berusia 20 hingga 70 tahun kerana terlibat dengan aktiviti perjudian sabung ayam dan bola golek.
Serbuan di kawasan kebun haram berdekatan Pangsapuri Bayu Perdana, Klang itu dilakukan kira-kira 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dua lelaki yang bertindak sebagai penganjur dan 70 orang pemain telah ditahan.
Daripada jumlah itu, 41 adalah warga tempatan manakala 31 lagi bukan warganegara.
“Sindiket berkenaan telah beroperasi selama enam bulan dengan menjadikan kawasan kebun haram yang terselindung sebagai lokasi perlawanan pada setiap Ahad,” katanya.
Operasi yang dikenali sebagai Op Cakar itu turut menyita wang tunai berjumlah RM55,075 serta pelbagai peralatan perjudian.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor yang turut serta menemui 14 ekor ayam hidup dan empat ekor ayam yang telah mati.
Ayam yang mati itu dipercayai akibat aktiviti sabung ayam.
Siasatan lanjut mendapati nilai pertaruhan bagi setiap perlawanan sabung ayam di situ mampu mencecah sehingga RM10,000.
Kesemua yang ditangkap kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Shazeli menegaskan bahawa operasi sedemikian akan dipertingkatkan bagi membanteras perjudian haram.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah digesa segera tampil menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis,” katanya.








