the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 29, 2026
30.1 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Bantuan kepada institusi pendidikan Islam di Kedah tingkat kemampuan institusi terus beroperasi

JITRA: Bantuan kewangan kepada institusi pendidikan Islam di Kedah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mampu membantu institusi berkenaan meneruskan operasi masing-masing serta menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada pelajar.

Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Agama Rakyat (PPSAR) Kedah Rusdi Hasan berkata banyak institusi pendidikan Islam termasuk sekolah pondok, maahad tahfiz serta sekolah agama rakyat berhadapan dengan masalah tersendiri dalam menguruskan operasi mereka terutama dalam keadaan ekonomi semasa.

“Terima kasih Perdana Menteri yang telah membantu 36 institusi pendidikan Islam di Kedah di mana seramai lebih kurang 10,000 pelajar akan menerima manfaat daripada bantuan ini.

Alhamdulillah kita telah menerima bantuan yang sedikit sebanyak membantu menampung operasi. Jadi diharapkan bantuan seumpama ini dapat disalurkan setiap tahun bagi membantu sekolah agama beroperasi dengan sempurna,“ katanya kepada Bernama di Kodiang, dekat sini hari ini.

Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah Melele, Kodiang, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM604,180 kepada 36 buah institusi pendidikan Islam di negeri ini untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan pendidikan.

Selain itu, sejumlah RM1.985 juta pula akan disumbangkan kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama yang berdaftar di Kedah dalam usaha menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam di negeri ini.

Rusdi yang juga Pengetua Sekolah Menengah Agama Madrasah Ihsaniah, Kampung Jangkang, Kulim berkata bantuan itu juga dapat membantu sekolah menjalankan program-program pengukuhan dan penerapan Islam seterusnya menyebarkan syiarnya.

Sementara itu, Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah, Baling, Khairul Ashraf Abdul Rahman berkata bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu pihaknya dan menjadi satu rangsangan kepada institusi pendidikan Islam untuk terus mendidik anak-anak dengan kefahaman serta nilai-nilai murni Islam.

“Di sekolah kami ada 1,200 pelajar dan hampir 80 orang guru. Dari segi kita berbelanja untuk gaji guru ini pengurusan sekolah kosnya memang tinggi.

“Walaupun kita memang ada banyak sumber dana untuk operasi kita, tetapi bantuan seumpama ini daripada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri sangat dialu-alukan,“ katanya.

Bagi tenaga pengajar di Maahad Syeikh Tajuddin, di sini, Muhammad Hilmi Abdul Rashid, bantuan ini akan memberi impak yang amat besar kepada sekolah itu yang sememangnya sedang merancang menaik taraf infrastrukturnya.

“Banyak masalah yang dihadapi sekolah agama atau sekolah pondok ini kurang mendapat dana, jadi kadang-kadang ia melibatkan kos yang tinggi untuk beroperasi dan ini boleh menjadi halangan untuk guru dan tenaga pengajar untuk memberikan ilmu dengan lebih mudah,“ katanya.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings