the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, January 24, 2026
22.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Galeri Arkeologi Guar Kepah perkukuh pelancongan prasejarah NCER

Galeri Arkeologi Guar Kepah di Pulau Pinang dijangka perkukuh rangkaian pelancongan prasejarah Wilayah Koridor Utara dengan peruntukan RM10 juta

KEPALA BATAS: Penubuhan Galeri Arkeologi Guar Kepah di sini berpotensi mengukuhkan rangkaian pelancongan prasejarah di Wilayah Koridor Utara (NCER), sekali gus mempelbagaikan produk pelancongan negara ke arah segmen bernilai tinggi berasaskan warisan, ilmu dan penyelidikan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata galeri itu bukan sekadar projek fizikal, sebaliknya inisiatif pembangunan ekonomi setempat yang menyeluruh melibatkan penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti ekonomi komuniti serta pembukaan sumber pendapatan baharu kepada penduduk sekitar.

Beliau berkata projek berkenaan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan peruntukan RM10 juta turut mencerminkan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membangunkan produk pelancongan berasaskan sejarah dan warisan.

“Guar Kepah bukan sekadar tapak bersejarah atau prasejarah. Ia merupakan sejarah atau khazanah peradaban yang menyimpan bukti kewujudan komuniti awal dan perjalanan panjang pembentukan masyarakat di rantau ini.

“Kita juga melihat keperluan untuk membangunkan produk pelancongan berasaskan prasejarah di Pulau Pinang serta sebahagian daripada usaha mempelbagaikan ekonomi pelancongan khusus di NCER ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Galeri Arkeologi Guar Kepah di sini hari ini.

Majlis perasmian galeri berkenaan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Duta Besar Belanda ke Malaysia Jacques Werner.

Akmal Nasrullah berkata pembangunan galeri berkenaan juga dijangka menghubungkan rantaian pelancongan prasejarah di utara Semenanjung, merangkumi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Lembah Lenggong di Perak, Galeri Arkeologi Guar Kepah di Pulau Pinang serta Sungai Batu di Kedah.

Beliau berkata usaha itu selari dengan strategi mempelbagaikan produk pelancongan negara ke arah segmen bernilai tinggi yang menyasarkan pencinta sejarah, penyelidik warisan, golongan akademia serta pelajar dari dalam dan luar negara.

Galeri Arkeologi Guar Kepah merupakan sebuah fasiliti canggih yang dibina di tapak ekskavasi timbunan cengkerang bersejarah dan telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Ia dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara NCER dengan Universiti Sains Malaysia (USM) serta Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang, dengan kerja pembangunannya bermula pada 14 Nov 2022 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2024.

Galeri berkenaan akan mempamerkan Penang Woman, iaitu rangka Neolitik lengkap pertama yang ditemukan di Malaysia, selain turut mempamerkan tulang-tulang rangka yang sebelum ini disimpan di Belanda selepas berjaya dibawa pulang hasil kerjasama erat Jabatan Warisan Negara, MOTAC serta Kementerian Luar bersama pihak berkuasa Belanda.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories