Jabatan Imigresen tahan 139 warga asing dan 20 warga tempatan dalam serbuan ke atas 13 premis kegiatan maksiat di sekitar ibu negara
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 139 warga asing dalam serbuan ke atas 13 premis yang dipercayai menjadi pusat kegiatan maksiat dan pelacuran di sekitar ibu negara.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM Basri Othman berkata operasi bermula 11.30 pagi itu menumpukan kawasan tumpuan warga asing iaitu Jalan Petaling, Jalan Imbi dan Jalan Pudu.
Seramai 205 individu telah diperiksa dalam operasi tersebut.
“Warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan terdiri daripada 27 lelaki serta 112 wanita berusia antara 20 hingga 65 tahun,” katanya.
Mereka berasal dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Nepal dan Sri Lanka.
Basri berkata 20 lelaki warga tempatan turut ditahan kerana disyaki menjadi kapten atau penjaga premis.
Beliau mendedahkan perkhidmatan itu ditawarkan pada harga serendah RM60 kepada pelanggan warga asing dan tempatan.
Wanita terlibat hanya bekerja di premis tersebut manakala tempat tinggal disewa di lokasi lain.
Siasatan mendapati premis terbabit beroperasi 24 jam sehari menerusi dua syif.
Operasi bermula dari 6 pagi hingga 6 petang dan bersambung hingga keesokannya dengan pelanggan boleh datang secara terus tanpa tempahan.
“Pemeriksaan mendapati premis ini telah mengubah suai struktur bangunan dengan membina dinding pemisah secara haram,” kata Basri.
JIM akan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan penguatkuasaan.
Siasatan turut dijalankan untuk memastikan jika semua premis yang menggunakan modus operandi sama itu dijalankan oleh satu sindiket.
Sebuah kereta Nissan Latio cuba melarikan diri ketika serbuan di Jalan Petaling namun berjaya dipintas pasukan operasi.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Beranang dan Semenyih untuk tindakan lanjut.
Tinjauan Bernama mendapati premis rumah kedai terlibat suram, kotor dan terdapat peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran. – Bernama







