KDN akan jadikan titah tegas Agong perangi rasuah sebagai panduan utama untuk perkukuh tadbir urus dan tutup ruang ketirisan kuasa.
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadikan titah tegas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar rasuah diperangi secara menyeluruh sebagai garis panduan utama.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata titah Seri Paduka Baginda membawa mesej jelas bahawa usaha membanteras rasuah mesti diterjemahkan melalui pelaksanaan tegas dan berintegriti.
“Apabila Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri menyampaikan mesej yang sama, ini menjadi kekuatan besar untuk mengingatkan semua pihak tentang bahaya rasuah,” katanya selepas Istiadat Pembukaan Parlimen.
Sultan Ibrahim menegaskan perang terhadap rasuah mesti dijalankan secara besar-besaran tanpa melindungi sesiapa.
Baginda menekankan tindakan tidak boleh tertumpu hanya kepada penerima rasuah tetapi merangkumi pemberi, ejen serta pihak bersubahat.
Saifuddin berkata titah itu turut menyentuh secara khusus beberapa agensi di bawah KDN.
Beliau berkata ini memperkukuh komitmen kementerian untuk meneliti dan menambah baik pelaksanaan proses perolehan.
“Semua perolehan KDN, terutamanya projek pembangunan dan perbelanjaan berskala besar, akan dilaksanakan secara telus dan berintegriti,” katanya.
Beliau sentiasa mengingatkan pegawai agar menghayati amalan tatakelola yang baik dan mengelakkan rasuah.
Penekanan itu akan diteruskan melalui perhimpunan bulanan dan mesyuarat bersama pegawai kanan kementerian.
“Tugas kita bukan sekadar mendengar titah Tuanku tetapi benar-benar menghayatinya dalam pelaksanaan di peringkat kementerian,” tegasnya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kementeriannya akan menumpukan usaha meningkatkan mutu pembinaan rumah mampu milik.
Usaha itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula tahun ini.
“Di bawah RMK13, KPKT akan mengangkat mutu pembinaan rumah mampu milik ke tahap kualiti lebih tinggi,” katanya.
Nga turut berkongsi bahawa kerajaan kali ini merupakan yang pertama dalam sejarah mencapai sasaran 500,000 unit rumah mampu milik di bawah RMK12.
Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja turut menekankan RMK13 perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.
Baginda menyebut bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam sebagai keutamaan.








