the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 1, 2026
32 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Palsu dokumen UMS: Peter Anthony fail semakan keputusan Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 ke atasnya atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lepas.

Peter selaku perayu memfailkan notis usul bersama afidavit sokongan di Mahkamah Rayuan pada 14 Mac lepas menerusi firma guaman Tetuan Kow, Lau & Ezra dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Berdasarkan notis usul itu, beliau memohon mahkamah mengkaji semula serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lepas di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Peter turut memohon pembatalan waran mempenjarakan bertarikh 4 Mac lepas yang dikeluarkan kepada Penjara Kajang terhadap beliau serta apa-apa perintah berbangkit bagi memastikan keadilan kes tersebut.

Sementara itu, peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan yang mewakili Peter ketika dihubungi Bernama berkata pengurusan kes ditetapkan pada 26 Mac ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.

Pada 4 Mac lepas, Mahkamah Rayuan memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas menolak rayuan akhir beliau terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.

Peter sebelum ini telah memfailkan rayuan pada 19 April 2023 bagi mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan namun gagal apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Beliau telah membayar denda RM50,000 yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings