Polis cari tahanan reman yang lari dari Hospital Sungai Bakap ketika rawatan. Suspek, S. Clemont, 47, masih dalam tahanan kes pecah rumah dan curi motosikal
NIBONG TEBAL: Polis melancarkan Operasi Tutup bagi mengesan seorang tahanan reman yang melarikan diri dari Hospital Sungai Bakap.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek, dikenali sebagai S. Clemont, 47, melarikan diri sekitar 3.45 petang Jumaat lepas.
Beliau berkata suspek memakai pakaian hospital berwarna biru dan putih ketika melarikan diri.
Laporan kejadian itu diterima daripada anggota polis yang ditugaskan mengawal suspek tersebut.
Suspek masih dalam tahanan reman bagi kes di bawah Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan mencuri motosikal di Sungai Bakap.
“Suspek dibawa ke HSB pada 22 Jan bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami sawan,” katanya dalam kenyataan.
Polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kelalaian penjawat awam.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan sah.
Mohd Alwi meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi pegawai penyiasat.
Orang ramai boleh menghubungi ASP Cheok Kian Soon di talian 012-6193878 atau IPD Seberang Perai Selatan di 04-5858222.
Maklumat juga boleh disampaikan dengan hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.








