Your Title

MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (gambar) mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Melaka bagi Misi Promosi Pelancongan Melaka di World Travel Market (WTM) 2023 yang berlangsung di London, United Kingdom bermula Isnin lepas hingga hari ini.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan memaklumkan serentak itu, turut diadakan majlis perasmian Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di peringkat global bagi mempromosikan negeri itu sebagai sebuah destinasi pelancongan utama di dunia.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Ab Rauf bersama-sama dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.

“WTM 2023 merupakan satu daripada pameran pelancongan terbesar di dunia terletak di ExCel London, yang juga menjadi tonggak penting bagi mempromosikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka di dunia,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan kempen sepanjang tahun itu akan menampilkan pelbagai acara khas, promosi dan inisiatif yang direka dan diatur untuk memikat pelancong dan pengunjung dari seluruh dunia ke Melaka.

“Pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan budaya, pameran seni, festival muzik dan pameran gastronomi yang akan mempamerkan kekayaan budaya dan warisan Melaka.

“Kerjasama dengan agensi pelancongan dan pengendali pelancong akan membuatkan perjalanan ke negeri ini lebih mudah dan mampu milik,“ menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu juga, lima Pertukaran Perjanjian Kerjasama turut diadakan semasa acara itu berlangsung bagi menjalin kerjasama dalam mempromosikan industri pelancongan terutamanya pelancongan inbound ke Melaka.

Perjanjian itu melibatkan ejen pelancongan yang berpangkalan di Melaka iaitu Bel Travel & Tour bersama ejen kembara iaitu TravelShop Turkey (Turkiye), Akbar Travel (India), Viet Experience Travel (Vietnam), Jane DMC Korea (Korea) dan Arabian Journey, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Perjanjian ini menandakan komitmen untuk kerjasama dalam meningkatkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan terkemuka, selain memanfaatkan kepakaran dan rangkaian setiap pihak untuk mempromosikan pelancongan ke Melaka serta memupuk hubungan yang lebih rapat antara Malaysia, Turkiye, India, Vietnam, Korea dan UAE dalam bidang pelancongan,“ menurut kenyataan itu. -Bernama