• 2023-11-02 06:00 PM

MELAKA: Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan meneruskan inisiatif Op Ramah di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed (gambar) berkata langkah itu susulan pihaknya melihat keberkesanan dalam penugasan Op Ramah yang pertama kali diperkenalkan pada 26 Mei lepas dan berakhir 30 Sept itu, untuk menangani sebarang kemungkinan ancaman dan risiko bencana semasa Monsun Barat Daya.

“Objektif pelaksanaan Op Ramah ini adalah melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi tumpuan bagi tujuan pencegahan daripada berlakunya perkara tidak diingini selain bertindak bagi kes-kes kecil yang dilaporkan seperti penemuan ular dan sebagainya.

“Selain itu, APM juga menerima beberapa aset baharu termasuk kira-kira 225 motosikal yang akan diserahkan kepada APM di seluruh negara bagi kemudahan operasi menyelamat termasuk digunakan bagi Op Ramah ini,“ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Himpunan Setia APM Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim.

Aminurrahim berkata selain itu, APM juga akan menambah baik pelaksanaan Kampung Siaga 221 yang diwujudkan untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan persediaan penduduk menghadapi sebarang bencana dengan memberi latihan untuk memberi maklum balas lebih awal berkaitan sebarang insiden bencana.

Beliau berkata lebih 14,000 pegawai, anggota dan sukarelawan APM di seluruh negara turut digerakkan bersiap siaga bagi menghadapi musim berkenaan selain inisiatif SIGAP APM: Siap Siaga Monsun Timur Laut yang dijadual dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali pada 15 Nov ini.

Pada majlis itu Aminurrahim turut menyempurnakan penyampaian Pingat dan Reben Pertahanan Awam, Sijil Watikah Pegawai Bersekutu lantikan baharu dan penyambungan semula, kenaikan pangkat bagi anggota pasukan APM Melaka selain penyampaian Sijil Penghargaan Pertahanan Awam dan Sijil Perakuan Civil Defence Auxiliary (CDA) kepada 167 pegawai dan anggota. -Bernama