• 2025-09-04 10:30 PM

KUALA LUMPUR: Platform media sosial TikTok boleh dikenakan tindakan undang-undang jika gagal melaksanakan tindakan sewajarnya untuk menangani jenayah dalam talian, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata setakat ini, platform tersebut antara lain masih gagal menyediakan moderator mencukupi untuk mengawasi dan menilai kandungan yang boleh memudaratkan pengguna.

“Saya secara umumnya sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok yang tidak serius dalam mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah-masalah tertentu yang telah kami bangkitkan sebelum ini.

“Satu contoh ialah apabila berlaku kes buli siber terhadap mendiang Rajeswary, atau lebih dikenali sebagai Esh, pihak TikTok menjanjikan bahawa jumlah moderator yang akan mereka letakkan untuk mengawasi kandungan termasuk TikTok Live itu akan bertambah.

“Bagaimanapun, semasa pertemuan dengan pihak TikTok hari ini, mereka masih gagal untuk menyatakan jumlah moderator yang telah ditambah untuk mengawasi dan menilai kandungan termasuk siaran langsung TikTok dalam Bahasa Tamil,” katanya.

Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas sesi perjumpaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan pihak TikTok di ibu pejabat PDRM di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya telah berkali-kali meminta pihak terbabit memberikan angka (jumlah moderator) tetapi mereka gagal berbuat demikian.

“Ini adalah satu perkara yang sangat serius kerana saya sendiri, Timbalan Menteri (Teo Nie Ching), dan MCMC terus menerima aduan daripada komuniti India mengenai masalah buli siber yang berlaku di platform TikTok.

“Keingkaran untuk mengatasi masalah ini boleh mengakibatkan pihak TikTok dikenakan tindakan perundangan dan saya serahkan kepada MCMC untuk meneliti apakah tindakan yang boleh diambil,” katanya.

Fahmi juga berkata berdasarkan pertemuan hari ini, pihak TikTok didapati sangat culas dan sangat lewat untuk memberikan maklumat apabila sesuatu jenayah penipuan berlaku berdasarkan laporan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Beliau berkata tanggungjawab itu diserahkan kepada JSJ, JSJK serta MCMC untuk menetapkan perkara yang perlu diutamakan oleh TikTok bagi menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.

Dalam pada itu, Fahmi berkata berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pihak MCMC, sebanyak 76,002 kandungan telah diturunkan di platform TikTok manakala 10,730 lagi yang diminta diturunkan tidak diturunkan dari 1 Jan hingga 31 Ogos lepas.

“Penting saya tegaskan bahawa tindakan menurunkan (kandungan) dilakukan oleh platform sendiri berdasarkan garis panduan (komuniti) yang telah mereka terbitkan.

“Jadi, walaupun MCMC ada meminta platform untuk menurunkan sesebuah kandungan tapi sekiranya platform berpendapat (kandungan berkenaan tidak melanggar garis panduan komuniti) maka kandungan tersebut tidak diturunkan,” katanya- BERNAMA