KUALA LUMPUR: Polis menahan 11 individu termasuk tiga wanita pada Jumaat dan semalam kerana dipercayai terlibat kegiatan mencuri kabel di sekitar Selangor.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata tangkapan pertama pada Jumaat melibatkan dua lelaki berusia 28 dan 34 tahun di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) oleh Unit Rondaan Bermotorsikal (URB).

“Ketika membuat rondaan, pihak polis cuba menahan sebuah kereta yang mencurigakan namun kenderaan itu memecut laju ke arah Lebuhraya SUKE. Seorang daripada suspek bertindak terjun dari kereta tetapi berjaya ditahan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata juruteknik Telekom Malaysia (TM) yang membuat pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki itu disyaki mencuri kabel di Jalan Hillview, Hulu Kelang dan seorang daripadanya gagal mengemukakan kad pengenalan diri.

Sementara itu, pada 5 petang semalam, polis membuat tangkapan susulan terhadap enam lelaki dan tiga wanita berusia 17 hingga 33 tahun di Bandar Botani dan Jalan Taman Kem Pelabuhan, Klang kerana disyaki terlibat dengan kes sama.

Mohd Azam berkata polis merampas antaranya 76 kabel yang dipotong pelbagai ukuran, empat kereta, tiga mesin gerudi, satu mesin kimpal, 10 gulung tali ‘sling’, satu kuku kambing dan empat telefon bimbit bagi membantu siasatan.

“Sembilan individu mempunyai dua hingga 14 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah serta narkotik dan ujian air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan ampthetamine,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan empat kes di daerah Ampang Jaya, dua kes di Shah Alam serta tiga di Melaka dan dipercayai aktif sejak setahun lepas dengan menyasarkan kabel TM bawah tanah yang dipotong dan ditarik menggunakan pacuan empat roda.

“Dua individu yang ditangkap pada Jumaat direman empat hari hingga esok, manakala sembilan yang lain direman empat hari bermula hari ini,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.