IPOH: Projek pembangunan 12 Taman Rekreasi MADANI (TRM) di sekitar Ipoh dijangka siap sepenuhnya pada akhir Julai ini dengan peruntukan RM5.4 juta. Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan ruang rekreasi yang kondusif untuk rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek TRM itu dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selepas menerima peruntukan berkenaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau berkata setiap taman dibangunkan dengan kos RM450,000 dan Taman Rekreasi MADANI Canning antara yang siap dibina di kawasan bandar raya Ipoh.
“Di bawah KPKT, kita ada impian 1,000 taman, iaitu 1,000 taman komuniti dan juga kawasan-kawasan lapang di kawasan perumahan supaya komuniti penduduk setempat menikmati kehijauan, keindahan, kebersihan taman awam di bawah kerangka ekonomi MADANI,“ katanya.
Nga turut menekankan aspirasi kerajaan MADANI dalam membina negara yang mampan, berdaya saing, dan sejahtera. “Kesejahteraan rakyat ialah keutamaan kita,“ tambahnya.
Majlis Perasmian Taman Rekreasi MADANI Canning dan Pelancaran Program CSR MBI bersama Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) turut diadakan hari ini. Sebelum itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara KLK dan MBI untuk memelihara tujuh TRM di sekitar Ipoh selama dua tahun.
Nga menjelaskan bahawa pasukan KLK akan menjalankan kerja penyelenggaraan seperti menabur baja, racun perosak, dan memotong rumput setiap dua minggu. Tujuh taman yang terlibat ialah Woodland Park 1 Tambun, Woodland Park 2 Tambun, Canning, Bandar Baru Putra, Westpool Park, Pengkalan Barat, dan First Garden.
“Kerjasama ini ialah satu inisiatif yang baik dan saya harap ada lagi syarikat besar lain yang akan turut menyumbang tenaga dan juga mencurahkan bakti, bersama-sama kita membina bandar raya Ipoh yang bersih, hijau, makmur, aman dan damai,“ ujarnya - BERNAMA