KUALA LUMPUR: Seramai 13 ahli parlimen daripada parti dalam Kerajaan MADANI telah dilantik sebagai Friends of Ministry Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Langkah ini diambil sebagai strategi untuk memperkukuh hubungan antara kementerian dan wakil rakyat.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim menyatakan bahawa pelantikan ini bertujuan memastikan dasar serta inisiatif kementerian dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat. “Ahli-ahli parlimen ini akan mendapat akses kepada bahan penyelidikan, taklimat dasar, dan sesi libat urus berkala untuk meningkatkan peranan mereka dalam Dewan Rakyat,“ katanya.
Antara yang terlibat ialah Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Mordi Anak Bimol (Mas Gading), Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching), dan Chong Chieng Jen (Stampin). Turut disenaraikan ialah Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), V. Sivakumar (Batu Gajah), dan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).
Menurut Sim, ahli parlimen ini akan berperanan sebagai rakan strategik dalam memberi pandangan, memperjuangkan dasar, dan membantu menyampaikan maklumat penting kepada rakyat. - Bernama