BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 17 penunggang motosikal dalam Ops Tutup Samseng Jalanan Bersepadu di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kawasan Sama Gagah di sini semalam.
Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) dalam kenyataan hari ini memberitahu pihaknya turut menyita 92 motosikal dalam operasi yang bermula dari Kilometer (KM) 130 (U) hingga KM135 (U) PLUS bagi membanteras aktiviti samseng jalanan dan mat rempit di kawasan berkenaan.
“Sebanyak 536 motosikal diperiksa dalam operasi itu dan 316 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis trafik turut mengesan beberapa kumpulan remaja sedang berkumpul di tepi PLUS untuk menonton aksi penunggang motosikal yang sedang berlumba sesama sendiri,” menurut kenyataan di Facebook IPD SPT hari ini.
Operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPT bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kontijen Pulau Pinang, kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) Bukit Aman dibantu agensi polis bantuan PLUS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.