BANGI: Sebanyak 1,869 anggota dan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan sejak tahun lepas hingga Ogos, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 175 anggota dan pegawai telah dikenakan tindakan buang kerja kerana kesalahan seperti pemerasan, penyalahgunaan dadah dan terbabit dengan sindiket.
“Kita sentiasa memantau penglibatan pegawai serta anggota yang ada kaitan dengan aktiviti salah laku sebagai langkah pemerkasaan dan pematuhan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tindakan ini konsisten serta berterusan sebagai pelan intervensi jangka pendek dan panjang dalam menangani salah laku membabitkan warga PDRM,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Awam ke-20 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Ayob Khan berkata antara langkah diambil oleh PDRM untuk menangani isu salah laku itu termasuk melaksanakan ikrar bebas rasuah, ujian integriti dan pematuhan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman turut membuat pemeriksaan di lapangan dan mengambil tindakan terhadap penyelia yang gagal menyelia anggotanya di bawah Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Setakat ini, 50 penyelia telah diambil tindakan di bawah peraturan itu selain kita membuat pemprofilan terhadap anggota dan pegawai yang hidup mewah,” katanya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 840 pelatih dari 17 universiti awam menamatkan latihan kepolisan Kor Suksis selepas menjalani latihan selama tiga tahun atau enam semester yang melibatkan 672 jam secara keseluruhan mengikut sukatan latihan yang diselaras dan ditetapkan semua univerisiti awam.
Ayob Khan berkata sejak penubuhan Suksis pada 2002, sebanyak 19,072 siswazah berjaya menamatkan latihan dengan 1,205 orang daripadanya menyertai PDRM sebagai kadet inspektor.