HUTAN MELINTANG: Sebanyak 21 rumah, sebuah kedai makan, dan sebuah tokong musnah dalam kebakaran di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang awal pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 4.52 pagi, dan pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.
Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dan Teluk Intan bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bagan Tiang digerakkan ke lokasi.
“Ketika pasukan bomba tiba, tujuh rumah sudah terbakar. Api merebak cepat kerana jarak rumah terlalu rapat,“ kata Sabarodzi dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman menghadapi cabaran akibat tekanan air pili bomba yang rendah serta risiko percikan elektrik dari kabel bekalan yang masih aktif.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.30 pagi.
Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 129 rumah lain di kawasan berhampiran.
Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran serta jumlah kerugian.