• 2025-08-12 06:06 PM

JERTIH: Sebanyak 2,153 pensijilan Amalan Akuakultur Baik (myGAP) telah dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada pengusaha akuakultur di seluruh negara setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Yeo Moi Eim, menyatakan angka ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan.

“Sebanyak 45 sijil myGAP telah dikeluarkan di Terengganu setakat ini, dengan 25 daripadanya melibatkan penternak dari daerah Besut,” katanya.

Peningkatan ini didorong oleh kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan peserta hasil pelbagai usaha Jabatan Perikanan Malaysia seperti bengkel dan promosi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Seminar myGAP ke arah Keterjaminan Makanan dan Penyerahan Insentif Perikanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim.

Yeo menjelaskan bahawa pensijilan myGAP merupakan penarafan kepada pengusaha akuakultur yang mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan makanan.

“Pensijilan ini bukan sekadar penanda aras kualiti, malah pengiktirafan terhadap tanggungjawab sosial pengusaha untuk memastikan operasi ladang tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata kerajaan negeri turut membantu penternak untuk mendapatkan sijil myGAP dengan sasaran 500 penternak dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Status tanah sebelum ini menjadi halangan utama, tetapi kerajaan negeri sedang menyelesaikan isu ini secara intensif,” jelasnya.

“Matlamat kami adalah memastikan tiada lagi penternak yang mengusahakan tanah kerajaan secara haram, dan sebahagian besar isu ini telah diselesaikan,” tambah Azman. - Bernama