BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 23 buah motosikal dan sebuah kenderaan lasak serba bentuk permukaan bumi (ATV), musnah dalam kebakaran sebuah bengkel motosikal di Kampung Guar Perahu, di sini awal pagi hari ini.

Namun tiada kemalangan jiwa atau sesiapa yang cedera, dalam kebakaran di bengkel tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya, menerima panggilan kecemasan pada 3.18 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti terus ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel motosikal berkeluasan 600 kaki persegi dan api sedang marak, dengan peratusan kemusnahan ketika itu sebanyak 70 peratus.

“Kerja-kerja pemadaman dijalankan dan mendapati kebakaran itu memusnahkan sebanyak 23 buah motosikal dan sebuah ATV, yang terdapat di bengkel tersebut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata pihak bomba berjaya memadam kebakaran itu sepenuhnya pada 5.50 pagi dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.–Bernama