• 2025-07-21 01:25 PM

KUALA LUMPUR: Kira-kira 2.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk penggunaan MyDigital ID setakat suku kedua tahun ini, meningkat daripada 1.8 juta pendaftaran yang direkodkan pada suku pertama 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata peningkatan itu dipacu oleh pertambahan “kes penggunaan” atau use-case MyDigital ID, iaitu aplikasi atau perkhidmatan tertentu yang menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti digital.

“Contoh kes penggunaan termasuk log masuk ke portal MyGOV, akses ke aplikasi MyJPJ dan verifikasi pemilik kad SIM prabayar.

“Apabila lebih banyak perkhidmatan kerajaan dan swasta menggunakan MyDigital ID, maka keperluan rakyat untuk mendaftar juga meningkat,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ronald meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan pelaksanaan inisiatif MyDigital setakat ini, khususnya berkaitan pendaftaran MyDigital ID, integrasi sistem kerajaan dengan platform digital dan impaknya kepada penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Mengulas mengenai integrasi sistem, Dr Zaliha berkata setakat ini, sebanyak 82 sistem aplikasi telah diintegrasikan dengan MyDigital ID.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 35 sistem kerajaan telah siap diintegrasi, 17 dalam pelaksanaan dan 21 dalam perbincangan awal, manakala tujuh sistem bukan kerajaan telah diintegrasi dan dua lagi sedang dilaksanakan.

Dalam usaha mendekati komuniti luar bandar dan pedalaman, Dr Zaliha berkata kerajaan sedang memperluas sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan serta melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memperkukuh capaian Internet.

“MyDigital ID turut mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan MCMC dan Polis Diraja Malaysia bagi membendung jenayah siber, termasuk melalui pelaksanaan verifikasi kad SIM prabayar menggunakan MyDigital ID yang dijangka mula dikuatkuasakan pada akhir suku ketiga 2025,” katanya - BERNAMA