KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 kes pecah amanah jenayah melibatkan peguam dilaporkan di seluruh negara sepanjang 2023 dengan nilai kerugian melebihi RM33 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata jumlah itu dijangka meningkat tahun ini berikutan nilai kerugian yang direkodkan melebihi RM20 juta setakat ini.

Beliau juga menjelaskan pada 2022 sebanyak 29 kes pecah amanah jenayah oleh peguam telah disiasat menyaksikan nilai kerugian melebihi RM13 juta.

“Dijangka jumlah kes akan terus meningkat. Kegiatan jenayah ini boleh berlaku apabila seorang peguam menggunakan kedudukannya untuk menipu klien, mengabaikan tanggungjawab profesional atau memanipulasi dokumen dan maklumat dengan niat jahat.

“Perbuatan ini melanggar etika profesional dan undang-undang. Justeru, mana-mana pihak yang berurusan dengan pihak peguam khususnya melibatkan wang dalam amaun besar disarankan sentiasa menyemak keberadaan wang itu agar kes sebegini dapat dielakkan,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima satu laporan di sekitar Selangor oleh seorang lelaki berusia 72 tahun pada 8 Ogos yang mendakwa ditipu sebuah firma guaman di ibu negara.

Pada 14 Mac lepas, satu perjanjian ditandatangani antara mangsa yang juga pesara syarikat swasta dan pembeli bagi urusan penjualan tanah berkeluasan 518 meter persegi di Batu Pahat, Johor dengan harga RM140,000.

“Seterusnya pada 20 Jun 2024 pembeli memperoleh kelulusan pinjaman sejumlah RM140,000 dan telah dibayar ke akaun klien milik firma guaman yang dilantik pengadu.

“Namun, sejak Julai sehingga laporan polis dibuat pihak pengadu masih tidak menerima sebarang bayaran. Lebih malang, beliau dua kali menerima cek daripada pihak peguam dilantik kononnya sebagai bayaran penjualan tanah itu, namun kedua-dua cek ditolak pihak bank atas alasan terdapat pindaan pada cek berkenaan,” katanya.

Ramli berkata JSJK turut menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 51 tahun yang mendakwa sebuah firma guaman menipunya dalam urusan pengendalian bayaran yuran perkhidmatan syarikat.

Beliau berkata pengadu yang juga seorang perunding perumahan, syarikatnya telah melantik sebuah firma guaman sebagai pihak berkepentingan bagi penerimaan fi perkhidmatan pelanggan syarikat pengadu pada 2013.

“Satu akaun Maybank dibuka atas nama firma guaman itu dan kesemua wang yang diterima daripada pelanggannya berjumlah RM833,473.75 dimasukkan ke akaun berkenaan.

“Pada 2017, pengadu disiasat dan dituduh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan wang dalam akaun itu dibekukan. Pada Mei lepas, pengadu dibebaskan daripada pertuduhan oleh Mahkamah Rayuan serta wang yang dibekukan dikembalikan kepada pengadu,” katanya.

Beliau berkata pengadu mengemukakan tuntutan kepada firma terbabit untuk menyerahkan wang itu, namun gagal dengan alasan peguam berkenaan memaklumkan sedang mengalami masalah kewangan.

Peguam itu dikatakan akan menggunakan wang berkenaan untuk mengelakkan rumahnya dilelong dan hasil semakan pengadu mendapati wang tiada dalam akaun dan dipercayai telah digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Saya mencadangkan untuk mewujudkan dua penandatangan bagi akaun pelanggan yang dibuka. Ini bertujuan memberikan akses kepada pelanggan menyemak keberadaan wang milik mereka,” katanya.