• 2025-08-02 02:23 PM

TANJONG MALIM: Sebanyak 506 produk Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) telah diluluskan untuk penandaan logo berkenaan setakat Julai, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Chang berkata barangan dan perkhidmatan yang ditandakan logo MySTI itu telah diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan mulai 23 Jun 2025. “Pelaksanaan (MySTI) adalah antara strategi kerajaan untuk mempersiapkan negara ke arah mencapai kedaulatan teknologi dan mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar,“ katanya.

Produk atau perkhidmatan yang diluluskan telah disenaraikan dalam Inventori MySTI yang boleh diakses oleh orang ramai melalui portal www.mysti.gov.my. Pendaftaran untuk penandaan logo pada ketika ini dibuat secara percuma.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Boniface Edwin Manung dan Pensyarah Kanan Perubatan, Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Rahmat Dapari.

Sebelum ini, MOSTI memperkenalkan satu daripada produk MySTI, iaitu teknologi mesra alam Aedestech Mosquito Home System (AMHS) yang dibangunkan oleh One Team Networks. Teknologi ini telah digunakan secara intensif selama 24 minggu bermula dari Februari hingga Julai lepas.

Chang berkata AMHS ialah inisiatif di bawah program MySTI oleh MOSTI, satu teknologi kawalan vektor (nyamuk aedes) yang mesra alam dan berimpak jangka panjang terhadap populasi nyamuk aedes. “Sebelum pelaksanaan AMHS, Ovitrap Index (OI) dicatatkan pada 45 peratus bagi kawasan intervensi dan 39 peratus bagi kawasan kawalan. Menjelang minggu ke-22, OI kawasan intervensi menurun kepada 44 peratus manakala kawasan kawalan meningkat kepada 62 peratus,“ jelasnya.

Beliau menambah bahawa hasil ini membuktikan keberkesanan AMHS dalam mengurangkan pembiakan nyamuk aedes, sejajar dengan pemantauan Ovitrap Index yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). “MOSTI sentiasa menyokong pembangunan teknologi tempatan yang mampu menyelesaikan isu-isu kritikal negara, termasuk kawalan penyakit berjangkit seperti denggi,“ katanya. - Bernama