JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas 537 tin dan botol minuman keras tidak bercukai yang dianggarkan bernilai RM50,000 susulan serbuan di sebuah kedai di kawasan Masai dekat Pasir Gudang, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang dipercayai pembantu kedai runcit dalam serbuan dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua kira-kira pukul 4 petang itu.

“Hasil pemeriksaan di sebuah stor kedai runcit itu yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan, 66 karton dan 20 kotak minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai telah dijumpai.

“Tentang bekalan arak ini, kita masih jalankan siasatan, setakat ini kita dapat tangkap pekerja dan kita akan usaha mengesan majikannya untuk kita tahu mereka dapat sumber dari mana,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini hari ini.

Mohd Sohaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Lelaki berkenaan kini direman di bawah Seksyen 116C Akta Kastam 1967 selama 12 hari bermula semalam hingga 1 September, katanya lagi.